fbpx

Tiada mini love buat pengangkutan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menggunakan LRT Masjid Jamek untuk pulang setelah selesai menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur Rabu lalu.

MELIHAT kemeriahan di Dataran Merdeka, terbit rasa cemburu di hati penulis kerana tidak dapat membawa anak-anak menyambut Hari Kebangsaan 2022 kelmarin.

Suasana yang cukup meriah dan bersemangat daripada 20,000 peserta perarakan dan pengunjung cukup membahagiakan hati.

Dua tahun tidak dapat berhimpun akibat Covid-19, tahun ini Dataran Merdeka kembali bergegar selepas kali terakhir penganjuran Hari Kebangsaan di lokasi berkenaan pada 2017.

Keterujaan lebih 200,000 pengunjung dapat dilihat apabila mereka memenuhi kawasan perbarisan dan perarakan sepanjang tiga kilometer meliputi Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Raja Laut selain sekitar Jalan Tun Razak.

Apa yang mengagumkan penulis ialah ada antara mereka keluar rumah seawal pukul 3 pagi mengatur langkah ke Dataran Merdeka.

Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang mula beroperasi pukul 4.30 pagi penuh dengan pelbagai peringkat usia dan semuanya menuju ke satu lokasi.

Seawal 5 pagi kawasan perbarisan telah penuh, malah hotel-hotel di kawasan berkenaan juga habis ditempah. Sungguh luar biasa semangat rakyat Malaysia kali ini.

Banyak aksi mencuit hati, daripada gaya abang bomba, tukang masak sehingga aksi bersahaja Yang di-Pertuan Agong menggerakkan tangan seakan-akan bermain dram, manakala Raja Permaisuri Agong menunjukkan isyarat jari ‘love’. Semua itu kenangan manis.

Jika sebelum ini kita khuatir semangat patriotik mula pudar apabila tidak banyak kenderaan serta bangunan memasang bendera, namun Dataran Merdeka membuktikan segala-galanya.

Tidak gantung bendera tidak bermakna anda tidak menghargai kemerdekaan. Persepsi telah berbeza.

Kegigihan ibu bapa membawa anak-anak kecil, memakai baju Jalur Gemilang, hiasan tanjak dan tudung serta selempang bendera, cukup membuktikan semangat cintakan negara itu tebal.

Tahniah kepada rakyat Malaysia, Hari bersejarah negara ke-65 cukup indah.

Bagaimanapun dalam kemeriahan sambutan, terselit juga kelompongan apabila pengangkutan awam tidak dapat menampung jumlah pengunjung.

Orang ramai terpaksa menunggu lebih lama untuk menaiki pengangkutan awam itu kerana tren dari stesen sebelumnya telah penuh.

Rapid KL memaklumkan sebahagian operasinya terpaksa ditutup ekoran keadaan sekitar stesen yang terlalu sesak dengan pengunjung yang datang meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

Bukankah sepatutnya situasi ini telah dijangka kerana setelah empat tahun tiada penganjuran. Perkara ini sedikit sebanyak ‘mencacatkan’ sistem perkhidmatan awam.

Kes ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia memperlihatkan kelemahan perkhidmatan itu.

Sampai bila agaknya kita perlu berhadapan dengan situasi ini tatkala pemimpin mencanangkan negara maju dan menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam.

Walaupun nampak remeh, namun jika tidak diatasi rakyat akan jadi mangsa dan takut tahun depan tiada yang mahu datang sambut Hari Kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI