KETUA jurulatih baharu skuad bawah 23 (B-23) negara, E. Elavarasan enggan menjanjikan ‘bulan dan bintang’ mengenai peluang pasukan layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Kata Elavarasan, barisan kejurulatihan baharu akan berusaha 100 peratus untuk memberikan yang terbaik bagi memenuhi impian tersebut, sekali gus menamatkan kemarau 42 tahun untuk menyaksikan skuad B-23 negara beraksi di pentas Olimpik.
“Ranking Malaysia di rantau Asia di kedudukan ke-26 dan hanya ada tiga slot automatik diberikan ke Sukan Olimpik. Namun, kita akan usahakan yang terbaik ke arah itu.
“Secara keseluruhan, jika kita berjaya dapatkan barisan pemain terbaik dengan komitmen penuh diberikan oleh pasukan bertanding, mungkin segala sasaran diletakkan boleh dicapai,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sebagai rekod, Elavarasan telah dipilih mengisi kekosongan ketua jurulatih skuad B-23 yang sebelum ini ditinggalkan oleh Brad Maloney pada Julai lepas.
Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell optimis Elavarasan tidak akan terbeban dengan tugasan meskipun masih dikekalkan selaku penolong ketua jurulatih skuad Harimau Malaya kepada pengendali import, Kim Pan-gon.
“Salah satu faktor kenapa kita memilih Elavarasan untuk menjadi pengendali skuad B-23 adalah untuk memastikan kesinambungan serta falsafah bola sepak antara skuad senior selari dengan apa yang cuba diterapkan.
“Saya pasti dia tiada masalah memikul kedua-dua tugas itu kerana apa yang kami lakukan ketika ini telah dilakukan banyak negara lain sebelum ini. Jika ada pertembungan kejohanan, dia akan fokus dengan skuad B-23 dan jika tiada, dia akan bersama skuad Harimau Malaya,” katanya.
Turut diperkenalkan semalam adalah Juan Torres Garrido dari Sepanyol selaku penolong ketua jurulatih skuad B-23, Park Jih-yeon (Korea Selatan/jurulatih kecergasan), Lee Je-yoon (juga Korea Selatan/jurulatih analisis prestasi) dan Kris Yong daripada barisan kejurulatihan sebelum ini yang dikekalkan sebagai jurulatih penjaga gol.