BANGKOK – Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) mengaku bahawa Thailand merupakan pusat pengedaran dadah di Asia Tenggara, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
NSB mengakui dakwaan sekian lama itu susulan pendedahan beberapa kes pengedaran dadah berprofil tinggi termasuk penahanan pasangan China yang cuba menghantar heroin ke Australia melalui perkhidmatan mel baru-baru ini. Dadah bernilai sekitar AS$500,000 (RM2,242,750) itu dirampas 24 Ogos lalu.
Rangkaian pengangkutan lebih baik di rantau ini seperti kereta api berkelajuan tinggi baharu di Laos, memudahkan raja-raja dadah memindahkan narkotik ke sekitar dan serata negara-negara Asia timur. Pesuruhjaya NSB, Leftenan Jeneral (polis) Sarayuth Sanguanpokhai menerima kenyataan bahawa Thailand menjadi hab transit narkotik melibatkan pengedar dadah warga asing kerana negara itu terbuka kepada industri pelancongan tetapi berkata, pasukannya bertekad akan menghapuskan dadah.
“Pelancongan menyumbang sebahagian besar pendapatan kepada Thailand. Kami mempunyai banyak kempen untuk menarik pelawat asing. Bagaimanapun, pada masa sama, pengedar dadah asing memasuki negara ini menggunakan visa pelancongan dan menjalankan perniagaan haram mereka di sini dengan menyamar sebagai pelancong,” katanya.
Pegawai dan anggota NSB menyerbu untuk menangkap pasangan China berkenaan iaitu Jun Dai, 48 dan Jiali Xie, 28, di hadapan sebuah kedai nasi ayam di daerah Sam Phran dalam wilayah Nakhon Pathom. Mereka cuba menyeludup 4.19 kilogram heroin melalui bungkusan mel ke Australia.
Susulan serbuan itu, NSB merampas aset bernilai 9.3 juta baht (AS$1,153,670), termasuk emas dan enam bilik kondominium di Bangkok serta Pattaya.
Siasatan mendapati pasangan warga China itu terlibat dalam rangkaian dadah di Myanmar. NSB masih menjejaki konco mereka dalam kalangan rakyat tempatan dan warga China lain.
Sarayuth menambah, Thailand juga dikelilingi oleh negara-negara di mana pengeluaran methamphetamine adalah pesat.
“Sistem pengangkutan awam di Thailand, Laos dan China bertambah baik. Perjalanan menaiki kereta api dari China ke tanah besar Asia Tenggara hanya mengambil masa beberapa jam. Selain itu, banyak syarikat penerbangan tambang murah mempunyai penerbangan di rantau ini.
“Justeru, lebih mudah bagi pengedar-pengedar untuk menyeludup dadah ke Thailand sebelum menghantarnya ke negara destinasi sebenar, terutamanya apabila China membuka semula sempadan selepas pandemik Covid-19.
“NSB bekerjasama rapat dengan atase polis China dan Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan di China untuk menyelesaikan jenayah berkaitan dadah yang diseludup melalui Thailand oleh pengedar-pengedar China. Selain itu, kami juga bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) untuk memerangi narkotik,” tambahnya.
Polis Diraja Thai menugaskan pasukan bertindak khas terdiri daripada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram, dan Jabatan Siasatan Khas untuk bekerjasama dengan AFP.
Pasukan bertindak itu memberi tumpuan untuk membanteras pengedaran dadah, jenayah pengubahan wang haram dan jenayah terancang rentas negara. – Agensi