KOTA BHARU – Kerajaan telah mengeluarkan dana sebanyak RM1 bilion melalui Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) untuk membantu operasi bas henti-henti di seluruh negara sejak 10 tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan kesukaran yang dihadapi rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan untuk menggunakan perkhidmatan bas henti-henti.
“Bagi memenuhi syarat ditetapkan di bawah ISBSF, kesemua bas akan dilengkapi sistem tiket elektronik canggih dan koordinat sistem kedudukan global (GPS) untuk membolehkan pergerakan bas dapat dipantau dengan berkesan.
“Ia turut dilengkapi sistem pengesan untuk mencerap tatalaku pemandu termasuk kerap menekan brek atau mengantuk semasa memandu. Bagi keselesaan penumpang, kesemua bas menyediakan sistem pendingin hawa di setiap tempat duduk,” katanya pada sidang akhnar selepas merasmikan Mutiara Rentas Desa (MRD) di Tunjong di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail.
Mengulas lanjut, menurut Ka Siong, pemilihan E-Mutiara bagi menjalankan operasi bas henti-henti di Kelantan kerana syarikat itu dilihat mampu menggerakkan semula perkhidmatan itu di negeri ini.
Katanya, dengan pengalaman selama 30 tahun, beliau yakin E-Mutiara dapat mengendalikan perkhidmatan tersebut dengan lebih baik daripada sebelumnya.
“Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM4.11 juta setahun untuk program ISBSF di Kelantan. Selain itu, difahamkan MRD telah dimulakan secara berperingkat sejak 1 Februari lalu.
“Perkhidmatan itu telah digunakan oleh lebih 60,000 penumpang sehingga 27 Ogos lalu. Ia menunjukkan jumlah penumpang daripada Februari sehingga Ogos tahun ini menungkat sebanyak 51 peratus setiap sebulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE