fbpx

Peranti Siswa diagih bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peranti elektronik akan diagihkan kepada mahasiswa terpilih bermula esok.

PUTRAJAYA – Mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta yang layak menerusi Program Peranti Siswa akan menerima peranti masing-masing mulai esok.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Annuar berkata, majlis agihan rasmi peranti itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor pukul 2.30 petang esok.

“InsyaAllah esok peranti siswa mula diedarkan kepada para mahasiswa IPTA dan IPTS. Tahniah kepada yang terpilih.

“Setiap penerima bakal mendapat Tablet Samsung model terkini, lengkap dengan casing, keyboard dan stylus pen,” katanya.

Annuar sebelum ini mengumunkan, 400,000 mahasiswa dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) layak menerima peranti jenama Samsung Galaxy Tab A8 LTE menerusi fasa pertama program itu.

Jelasnya lagi, agihan fasa kedua dijangka pada Oktober atau November depan memandangkan permohonan bagi fasa itu sedang dibuka mulai 1 Ogos 2022 hingga 30 September 2022.

“Pembekalan peranti itu akan dilakukan oleh lima syarikat terpilih melalui tender terbuka mengikut zon merangkumi Sabah dan Sarawak, utara, tengah dan selatan Semenanjung.

“Penerima Peranti Siswa bagi Fasa 1 terdiri daripada mahasiswa dalam kalangan keluarga B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah sebanyak RM4,850 ke bawah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI