BRASILIA – Seorang nelayan berjaya diselamatkan selepas bertahan selama 11 hari di dalam peti sejuk beku apabila bot dinaikinya karam di Lautan Atlantik, lapor portal berita MailOnline semalam.
Romualdo Macedo Rodrigues, 44, meninggalkan Oiapoque, dalam negeri Amapa di utara Brazil pada akhir Julai lalu dengan menaiki bot kayu sepanjang kira-kira 7 meter menuju ke Pulau Ilet la Mere.
Menurut media Brazil, Rodrigues merancang untuk menghabiskan masa beberapa hari dengan memancing tetapi botnya mula dimasuki air ketika dalam perjalanan dan karam.
Dalam usaha untuk terus hidup, Rodrigues masuk ke dalam peti sejuk beku yang berada di atas botnya. Dia hanyut tanpa makanan atau minuman selain turun berat badan kira-kira 5 kilogram (kg) selama 11 hari.
“Apa yang paling merisaukan saya ialah kehausan. Peti ais ini bagi saya adalah keajaiban,” katanya.
Rakaman pada 11 Ogos lalu memaparkan Rodrigues diselamatkan, keletihan dan jatuh ke lantai sebuah kapal nelayan dari negara Suriname, sekitar 450 kilometer dari lokasi botnya karam.
Selain pakaiannya koyak dan mengalami dehidrasi, Rodrigues juga diserang strok haba. Dia merayu kepada penyelamat untuk minum lalu mereka memberinya air dan bubur.
Akan tetapi, pengalaman pahit Rodrigues belum berakhir. Selepas bot itu kembali ke pantai, dia diberi pertolongan cemas dan kemudian ditangkap di Suriname kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Dia kemudian menghabiskan masa 16 hari di sebuah penjara di Paramaribo. Mimpi ngerinya berakhir apabila dia akhirnya dibenarkan pulang ke negara asal. Penerbangan membawa Rodrigues mendarat di Belem dekat negeri Para, di utara Brazil. – Agensi