PETALING JAYA – Jangan sesekali jadikan institusi masjid sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, bertelagah dan menjadikan masjid sebagai sebuah gelanggang politik.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat Malaysia perlu jadikan masjid sebagai sebuah institusi yang menerajui kebaikan, pusat kegiatan umat Islam dan bagaikan masjid sebagai lilin yang menyinari masyarakat setempat.
“Beta berpandangan bahawa masjid bukan hanya sekadar berperanan sebagai pusat untuk beribadah, peranan masjid boleh dikembangkan dengan pelbagai fungsi termasuk sebagai pusat aktiviti ekonomi, kesukanan, persatuan, pembelajaran dan kemasyarakatan.
“Masjid hendaklah diperkasakan mengikut realiti zaman kerana ia adalah merupakan benteng terakhir untuk perpaduan dan kesatuan umat Islam,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Baharu Bandar Tun Razak Jengka, Pahang hari ini.
Tambah baginda, pengurusan masjid perlu lebih berpandangan jauh dan bersifat proaktif untuk melangkah keluar dari masjid dengan mengunjungi ahli-ahli kariah bagi menghulurkan pelbagai bantuan disamping merapati dan berdakwah kepada mereka masih merapati diri ke masjid.
“Semua pendekatan tersebut pada hemat beta akan berupaya untuk merungkai pelbagai keperluan masayarakat setempat dengan secara lebih sistematik yang akhirnya bakal membentuk sebuah masayarakat madani yang bersatu padu.
“Beta ingin berpesan kepada pengurusan masjid di negeri Pahang yang dicintai ini, pengurusan masjid adalah pemegang amanah, justeru laksanakan tanggungjawab dalam menguruskan rumah Allah ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan amanah,” titah baginda. -KOSMO! ONLINE.