KUALA LUMPUR – Sehari selepas dijatuhi hukuman atas pertuduhan rasuah, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat hadir sekali lagi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Kemunculan Rosmah pada pagi ini untuk mengikuti perbicaraan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan. Turut hadir anaknya Nooryana Najwa.
Semalam Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmah, 71, selepas mendapati isteri bekas Perdana Menteri tersebut bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.
Bagaimapun mahkamah membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE