WASHINGTON – Seorang pemuda di negeri Ohio bergantung pada mesin sokongan hayat selepas disengat lebah beribu-ribu kali, demikian menurut keluarganya dan media tempatan.
Austin Bellamy, 20, diletakkan dalam keadaan koma malam Selasa lalu selepas dia tidak sengaja memotong sarang lebah ketika memangkas pokok untuk rakannya, lapor stesen berita Fox 19.
“Bellamy dirawat di hospital menggunakan mesin ventilator,” kata ibunya, Shawna Carter dalam laman mengumpul dana yang dilancarkan bagi membiayai kos rawatan mangsa.
Pada Jumaat lalu, Bellamy memangkas dahan pokok lemon apabila dia tanpa sengaja memotong sarang lebah pembunuh Afrika. Dia kemudian disengat lebih 20,000 kali.
“Ketika memotong dahan, kawanan lebah tiba-tiba keluar. Anak saya menjerit ‘Tolong! Tolong! saya! Tolong!’ Tetapi tiada siapa menolongnya,” demikian menurut kenyataan di laman mengumpul dana Carter
Keluarga mangsa menyaksikan apa yang berlaku tetapi tidak dapat menyelamatkan Bellamy kerana mereka juga diserang lebah.
Carter yang tiada di tempat kejadian, pengsan akibat terkejut apabila diberitahu mengenainya melalui telefon. Dia berkata, Bellamy juga menelan kira-kira 30 ekor lebah, manakala doktor-doktor mengambil masa lebih sehari untuk mengeluarkannya.
“Mereka mengambil masa hingga Ahad (lalu) untuk mengeluarkan semua lebah daripada tubuh mangsa,” kata Carter kepada Fox 19.
Namun, mangsa bernasib baik kerana doktor-doktor percaya dia akan pulih sepenuhnya. – AFP