fbpx

Kerajaan tumpu bangunkan kawasan bandar sempadan Malaysia-Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) melambai tangan selepas merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kedah di Alor Setar, hari ini. /FOTO SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Kerajaan Pusat akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan di negeri Kedah termasuk di kawasan atau bandar yang bersempadan dengan Thailand iaitu di daerah Padang Terap dan Kubang Pasu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tumpuan itu diberikan kerana sumbangan perdagangan di sempadan adalah cukup besar iaitu mencecah USD 10 bilion (RM44.8 bilion).

“Bagi mempergiatkan pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia–Thailand, kerajaan akan membangunkan laluan empat lorong dari Pokok Sena dekat sini ke Bandar Durian Burung, Padang Terap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Selain itu, menurut Ismail Sabri, pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi seperti Kedah Rubber City (KRC) juga akan melonjak nilai dagangan dan menjadikan Padang Terap sebagai bandar sempadan utama negara.

“Selain itu, Pembangunan Integrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan membuktikan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, bagi meminimumkan kesan bencana banjir di negeri ini, kerajaan komited melaksanakan tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion.

“Ia termasuk di Sungai Pendang, Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan,” katanya.

Tambahnya, sebanyak RM239 juta juga telah diperuntukkan bagi pembinaan rangkaian sistem pembetungan di seluruh negeri Kedah yang merangkumi 28 loji kumbahan awam dan 16 loji kumbahan di premis kerajaan.

“Bagi kelancaran aliran trafik dan meminimumkan tempoh perjalanan, kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain memperuntukkan RM526 juta untuk menaikkan taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI