PETALING JAYA – “Jika saya tidak berkecimpung dalam dunia politik, kemungkinan besar saya sudah jadi pembaca berita.”
Demikian jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa ditemu bual santai oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) kelmarin.
Menurut Ismail Sabri, tawaran tersebut hadir ketika beliau tamat belajar bagi jawatan pembantu penyiaran.
“Tetapi saya pilih untuk menjadi pembaca berita. Pada waktu sama juga saya mendapat tawaran untuk sambung belajar di universiti.
“Jadi saya terpaksa pilih antara dua, jadi saya teruskan masuk universiti. Tetapi kalau saya tak masuk universiti, saya ada di RTM (Radio Telebvisyen Malaysia), mungkin sekarang mantan pembaca berita,” katanya pada sesi temu bual itu.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut berkongsi menu masakan India kegemaran beliau.
“Kalau makanan berat, nasi daun pisang, kalau ringan ‘tose’ dan ‘cutni’. Ada dua kelapa putih dan kuning, kalau kuning itu pedas, manakala putih itu pula biasa.
“Tetapi kalau tanya saya apa yang paling saya tak pandai, memasaklah, ” ujar beliau.
Selain itu beliau turut bercerita tentang keakrabannya dengan masyarakat orang Asli seperti adat dan budaya mereka.
“Kalau ada program dengan masyarakat Orang Asli, akan ada hiburan. Saya kena menyanyilah syaratnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE