fbpx

Ismail Sabri umum pembinaan Pusat Kecemerlangan RISDA di Padang Terap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri mengacau gulai kawah yang menjadi hidangan istimewa pada Majlis 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia di Kuala Nerang, hari ini.

KUALA NERANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembinaan Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15 juta di daerah Padang Terap.

Pembinaan pusat tersebut adalah sebagai langkah persediaan untuk mempersiapkan tenaga kerja di Bandaraya Getah Kedah (KRC) di daerah itu, tidak lama lagi.

Menurutnya, pusat kecemerlangan berkenaan berperanan untuk memberi latihan kepada anak-anak tempatan bagi mendalami ilmu berkaitan industri getah.

Kata beliau, langkah itu diyakini mampu membantu masyarakat setempat mendapatkan latihan terbaik sebelum bekerja di KRC.

“Saya dimaklumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa KRC akan membuka sehingga 6,000 peluang pekerjaan.

“Jadi sudah pastilah yang akan mengisi peluang pekerjaan itu merupakan warga Padang Terap. Justeru bagi melatih anak-anak tempatan mendalami perkara berkaitan getah sebelum ditempatkan di KRC, maka mereka perlu diberi latihan.

“Oleh itu, saya nak maklumkan bahawa kerajaan akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan RISDA dengan kos RM15 juta,” katanya pada Program ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia Padang Terap di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang di sini, hari ini.

Lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir ke program tersebut yang diadakan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di negeri ini.

Ketika ini nilai pelaburan KRC dianggarkan berjumlah RM3 bilion dan dijangka terus meningkat mencecah RM10 bilion pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI