ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan bukan retorik atau slogan semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, ia merupakan satu semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara demi kepentingan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan hari ini.
“Jawapannya mudah iaitu kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, dalam konteks negara, seluruh rakyat adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia.
“Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan keterangkuman dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
“Pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif untuk rakyat dengan pantas dan berkesan.
“Ini merupakan usaha mencari kebersamaan agar pemegang taruh utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya,” ujarnya.
Sementara, dalam konteks Islam, kata beliau, nilai tasamuh yang bermaksud toleransi sebenarnya telah lama berlangsung dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbeza agama, bangsa dan kaum.
“Namun, bukan mudah mempertahankan nilai tasamuh andainya Keluarga Malaysia meminggirkan nilai-nilai yang boleh mewujudkan konflik dan perbezaan.
“Oleh itu, pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengingatkan kembali bahawa keutamaan kita adalah untuk memulihkan negara dan ekonomi, tanpa memandang siapa ditimpa musibah,” jelasnya.
Tambahnya, usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang dimiliki. – KOSMO! ONLINE