MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya Erling Haaland lebih bermotivasi untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini daripada memburu pencapaian peribadi Anugerah Kasut Emas EPL.
Haaland, 22, ketika ini mengungguli carta penjaring terbanyak EPL dengan sembilan gol selepas meledak hatrik membantu City membelasah pendatang baharu, Nottingham Forest 6-0 di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Ia adalah hatrik kedua berturut-turut daripada bintang Norway itu dalam saingan EPL selepas menjaringkan tiga gol dalam babak kedua ketika menewaskan Crystal Palace 4-2 minggu lalu.
Kata Guardiola, prestasi semasa Haaland selepas lima perlawanan adalah sesuatu yang luar biasa tetapi dalam masa sama percaya misi utamanya adalah membantu pasukan melakar kemenangan.
“Kita boleh lihat keghairahan Haaland di atas padang dan motivasi tersebut lebih terarah untuk menjuarai trofi bersama pasukan. Jika dia mahu mencipta rekod jaringan atau memenangi kasut emas, ia juga tidak menjadi masalah.
“Namun, harus diingat rekod sahaja tidak boleh membantu anda menjuarai trofi. Saya harap dia dapat meneruskan momentum ini kerana apa yang dilakukan sekarang sangat menakjubkan,” katanya.
Tiga lagi gol The Citizens awal pagi semalam diperoleh menerusi dua jaringan Julian Alvarez dan satu daripada Joao Cancelo.
Sementara itu, Guardiola turut memuji prestasi yang dipamerkan Alvarez selepas penyerang kelahiran Argentina itu membalas kepercayaan apabila diletakkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini.
“Alvarez memiliki mentaliti cukup positif kerana dia sedar meskipun tidak diberi peranan selaku penyerang utama tetapi dia masih menggunakan kesempatan sebaik mungkin.
“Jika keadaan terdesak, mungkin kami akan menggunakan khidmatnya untuk bergandingan dengan Haaland,” jelas Guardiola. – AGENSI