PORT DICKSON – Sebuah chalet di sini diserbu penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) semalam selepas disyaki mencuri bekalan air terawat.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, dan hasil siasatan tapak mendapati premis terbabit melakukan penyambungan tidak sah.
Penyambungan tersebut menggunakan paip jenis High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 32 milimeter tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan operasi harian.
“Pegawai penguat kuasa turut menjalankan ujian klorin dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Norzita, pihak SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti dan operasi serbuan itu tamat pada pukul 12.45 tengah hari semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 .
“Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE