BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memasang impian untuk bergelar status beregu No.1 dunia selepas kejayaan bergelar juara dunia yang menyaksikan Malaysia menamatkan penantian 45 tahun.
Gandingan No. 5 dunia itu menamatkan kemarau kejuaraan selepas menumbangkan beregu berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Jadi, sasaran Aaron-Wooi Yik bukan misi mustahil kerana mereka masih muda untuk terus mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Kali terakhir beregu lelaki negara berada di puncak tertinggi ranking dunia adalah menerusi gandingan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem pada 2016, sejurus mereka menang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Lebih manis, kejayaan Aaron-Wooi Yik bergelar juara dunia membolehkan mereka mendapat jemputan automatik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk beraksi pada Kejohanan Akhir Jelajah Dunia di Guangzhou, China hujung tahun ini.
Lebih menarik hanya lapan pemain terbaik dunia akan beraksi untuk merebut gelaran pada saingan tersebut.
“Berita gembira ini memang sesuatu yang kami harapkan, ia secara tidak langsung membangkitkan lagi semangat juang kami untuk bertanding pada kejohanan akan datang
“Kita juga harap suatu hari nanti dapat jadi nombor satu dunia, Memang ini satu berita gembira, tetapi kami juga perlu bekerja lebih keras untuk itu,” jelas Aaron sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Sebagai rekod, Aaron dan Wooi Yik belum pernah melepasi peringkat kumpulan Kejohanan Akhir Jelajah Dunia sejak membuat penampilan pada 2019.
“Saya rasa kami akan ambil pendekatan satu demi satu perlawanan kerana ketika ini saya langsung tidak fikirkan tentang saingan Jelajah Akhir Dunia, yang penting kami mahu kekalkan prestasi kami.
“Kami hanya ada tempoh rehat sebulan sebelum beraksi semula, dan saya benar-benar mahu beri tumpuan kepada prestasi kami apabila kami kembali semula ke dalam gelanggang nanti,” jelas Wooi Yik.