LANGKAWI – Perjalanan feri ke Pulau Langkawi pada musim cuti persekolahan selama seminggu bermula hujung minggu ini didakwa tidak mencukupi untuk menampung jumlah penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, operator feri telah diarahkan kerajaan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya lima perjalanan sehari bagi setiap laluan bermula esok.
“Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan di laman Cuti-Cuti Langkawi yang mengendalikan pembelian tiket online, jumlah perjalanan feri masih tidak berubah.
“Bahkan, pada Ahad ini, hanya tiga sahaja feri dijadualkan dari Kuala Perlis ke Langkawi sedangkan cuti sekolah sudah bermula,” katanya ketika ditemui di Hotel Adya Kuah di sini semalam.
Beliau berkata, operator feri sepatutnya kotakan janji untuk mengadakan sekurang-kurangnya lima perjalanan sehari yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.
“Jika dibiarkan, industri pelancongan sendiri akan menanggung kerugian apabila pelancong tidak dapat masuk ke Langkawi.
“Statistik kemasukan pelancong dikeluarkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku di sini,” ujarnya.
Jelasnya, jumlah perjalanan feri yang terlalu sedikit bermakna perkhidmatan itu hanya digunakan penduduk tempatan dan bukan pelancong seperti statistik itu.
Sementara itu, seorang penggiat pelancongan di sini, Ahmad Pishol Ishak berkata, ada rakannya yang telah membeli tiket bas dan menempah penginapan untuk datang ke sini pada musim cuti sekolah ini.
“Saya pesan kepada kawan tersebut untuk beli tiket feri secara online kerana perjalanan terhad. Tetapi apabila mereka hendak membeli tiket, ia telah habis dijual,” ujarnya.
Katanya, pelancong diingatkan untuk menempah tiket lebih awal dan operator feri juga perlu menambah perjalanan feri di samping meningkatkan mutu perkhidmatan feri bagi menampung kemasukan pelancong.
“Kalau kemasukan pelancong ke sini terjejas (disebabkan kekurangan perjalanan feri), industri pelancongan Langkawi juga akan terjejas,” ujarnya.