fbpx

Rumah jagaan Jepun upah ‘pekerja’ bayi, bayar guna lampin dan susu formula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penghuni bertemu dengan bayi di rumah jagaan Moyai Seiyukai di Kitakyushu, Jepun. - Moyai Seiyukai

TOKYO – Sebuah rumah jagaan di selatan Jepun ‘menggaji’ bayi untuk menemani dan menggembirakan warga emas dengan memberi upah lampin dan susu formula, lapor akhbar Japan Today semalam.

Bayi yang direkrut oleh fasiliti di bandar Kitakyushu itu mesti berusia bawah empat tahun. Penjaga perlu menandatangani kontrak yang menetapkan bahawa bayi dan anak kecil masing-masing boleh hadir bekerja pada waktu diperlukan.

Bayi dibenarkan untuk berehat apabila lapar, mengantuk atau bergantung kepada emosi mereka, jelas kontrak itu.

Lebih 30 bayi telah didaftarkan setakat ini yang ditugaskan untuk memberi semangat kepada lebih 100 penghuni yang kebanyakannya berumur dalam lingkungan 80-an, kata Kimie Gondo selaku ketua rumah jagaan itu.

“Hanya dengan melihat bayi dapat membuatkan penghuni kami tersenyum,” katanya kepada AFP sambil menambah, tiada jadual syif kerja ditetapkan.

Iklan kerja yang ditampal pada dinding rumah jagaan itu menyatakan: ‘Kami mencari pekerja!’ dan memaklumkan bahawa pekerja akan diberi upah dalam bentuk lampin dan susu formula.

Tanggungjawab calon yang berjaya ialah bersiar-siar di sekitar rumah jagaan itu sambil ditemani oleh penjaga mereka, katanya.

“Bayi-bayi itu berada bersama ibu mereka sepanjang masa. Ia sama seperti mereka dibawa berjalan-jalan di taman,” kata Gondo.

Penghuni rumah jagaan itu kelihatan gembira dengan kehadiran bayi dan telah menyapa mereka, memulakan perbualan atau menawarkan pelukan kepada mereka. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI