fbpx

Pencuci mulut premium jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pavlova dan kek antara menu manisan yang paling mendapat sambutan di sini.

BAGI penggemar juadah manisan, tiada apa yang lebih indah daripada menikmati sepotong kek yang enak sebagai hidangan pencuci mulut.

Malah, pencuci mulut juga sudah lama terbukti mampu menjadikan mood seseorang bertambah baik.

Berbekalkan minat terhadap menu pencuci mulut dan juga kebolehan memasak yang diwarisi daripada neneknya, Arieni Adriena Mohd. Ritzal, 31, memberanikan diri dengan membuka cawangan pertama sebuah kafe manisan yang diberi nama Gula Cakery di Kota Kemuning, Shah Alam, sejurus selepas menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pada 2015.

Biarpun bukan berasal daripada bidang perniagaan, anak kelahiran Shah Alam itu sudah didedahkan dengan aktiviti memasak sejak kecil lagi, malah semua ahli keluarganya juga cukup menggemari menu pencuci mulut.

Ternyata, pertaruhannya itu menjadi apabila seleksi menu pencuci mulut Gula Cakery mendapat sambutan, sehinggalah wanita itu kini sudah pun mempunyai enam cawangan di sekitar Lembah Klang dan satu cawangan baharu di Melaka.

Gula Cakery menyajikan lebih 80 menu makanan yang terdiri daripada pasta, pencuci mulut seperti kek dan ais krim serta minuman seperti ice blended dan juga kopi.

Ujar Arieni, impiannya adalah untuk menyajikan menu berkualiti berkualiti dan enak kepada setiap pengunjung yang datang.

“Boleh dikatakan, hampir kesemua menu yang ada di sini adalah daripada resipi saya sendiri.

Seleksi kek yang boleh dicuba pelanggan.

“Oleh itu, saya akan memastikan kesemua menu yang disajikan itu benar-benar berkualiti dengan menggunakan bahan-bahan yang premium,” ujarnya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Bermula dengan pencuci mulut, Arieni kemudiannya menambah pelbagai lagi seleksi menu makanan berat bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Antara menu signatur dan wajib cuba di Gula Cakery adalah seperti Spageti Lemak Cili Api, Chili Butter Mussels, Mum’s Tomato Rice, Berry Pavlova dan juga Kek Pandan Gula Melaka yang juga merupakan menu paling laris di Gula Cakery.

Bagi menu minuman pula, pengunjung boleh mencuba Passion Peach Sparkler dan juga susu kocak berperisa Lotus Biscoff.

Menurut Arieni, dia juga teruja apabila berpeluang mengikuti kelas penghasilan pastri Perancis di Paris baru-baru ini dan mula memperkenalkan seleksi pencuci mulut baharu di premisnya.

Antara menu baharu Gula Cakery termasuklah Heavenly Pistachio Tart, Dark Chocolate Tart dan juga Tropical Mango Bliss.

Minat terhadap aktiviti memasak sejak kecil mendorong Arieni membuka kafenya sendiri.

Kesemua menu tersebut boleh didapati di kesemua enam cawangan Gula Cakery.

Bercerita tentang pencuci mulut kegemarannya pula, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata dia amat menggemari apa sahaja pencuci mulut yang berperisa coklat.

“Biasanya, kita akan menikmati pencuci mulut kerana teringin atau rasa mahu memenuhi ‘craving’ itu dan bagi saya, rasa keinginan itu lazimnya akan berjaya dipenuhi apabila memakan sesuatu yang berperisa coklat.

“Apabila saya makan pencuci mulut berperisa coklat yang pekat, berlemak dan manis itu, barulah saya rasa keinginan terhadap makanan manis itu berjaya dipenuhi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI