PETALING JAYA – Suasana solat subuh di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur semalam luar biasa apabila dipenuhi jemaah termasuk pengunjung Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 sekali gus diibaratkan seperti di Mekah.
Berdasarkan video dimuat naik pada media sosial Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, bahagian ruang solat di masjid tersebut dipenuhi jemaah dari saf depan hingga belakang.
Disebabkan jemaah terlalu ramai, sebahagian daripada mereka turut menunggu giliran di bahagian luar masjid untuk bersolat.
“Alhamdulillah, suasana orang ramai memenuhi Masjid Jamek Sultan Abdul Samad menunaikan solat subuh berjemaah pagi tadi (semalam) sebelum menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.
“Pelihara hubungan dengan Allah setiap masa, itu erti merdeka yang hakiki,” katanya pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna laman sosial dalam kalangan umat Islam mengucapkan syukur dengan kehadiran jemaah memenuhi masjid tersebut.
“Jika begini, setiap tahun sambutan kemerdekaan dapat berkat, dipelihara setiap mereka yang sujud dan berdoa kepada Maha Esa. Alhamdulillah,” kata Idrus Ahmad.
“Allahuakbar, alhamdulillah. Semoga berterusan hari-hari, bangkitlah demi agama, bangsa dan negara,” kata Aisha Rahman. – KOSMO! ONLINE