fbpx

Mahkamah: Pembelaan Rosmah penafian semata-mata, terlibat hal kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menyifatkan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes tiga pertuduhan rasuahnya, adalah penafian semata-mata.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah berpuas hati bahawa pembelaan isteri bekas Perdana Menteri tidak disokong oleh sebarang bukti bagi menyanggah kes pendakwaan.

Menurut beliau, Rosmah secara berterusan menafikan terlibat dalam projek kerajaan kerana dinasihatkan oleh suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak melibatkan diri dengan mana-mana kontraktor.

“Rosmah dalam pembelaannya menyatakan beliau takutkan Najib dan tidak sesekali cuba mempengaruhi suaminya apatah lagi menasihati beliau berhubung perkara berkaitan kerajaan.

“Rakaman perbualan audio di antara Rosmah dan Najib jelas menunjukkan beliau mengeluarkan arahan kepada suaminya berhubung urusan kerajaan, bukan perbualan di antara pasangan suami isteri semata-mata,” kata hakim itu.

Pada masa sama, mahkamah turut berpuas hati pembelaan Rosmah adalah keterangan dengar cakap (hear say) dan tidak diterima oleh mahkamah kerana Najib tidak dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan pembelaannya.

“Dengan hormatnya, saya melihat Rosmah mendominasi Najib dan mempunyai kawalan terhadap beliau walhal dia tidak mempunyai hak mencampuri urusan kerajaan,” ujar Mohamed Zaini.

Sehubungan itu, mahkamah berpendirian pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan rasuah terhadap Rosmah melampaui tahap keraguan munasabah.

Pada hemat beliau, Rosmah gagal menyangkal andaian di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Mahkamah berpendirian, semua bukti keterangan pihak pendakwaan menyokong inferens bahawa Rosmah memang meminta dan menerima sejumlah wang tunai yang besar daripada Saidi Abang Samsuddin dan rakan kongsinya, Rayyan Radzwil Abdullah.

Beliau berpuas hati bahawa Rosmah menerima wang itu melalui Datuk Rizal Mansor sebagai dorongan membantu Jepak Holdings Sdn. Bhd. mendapatkan kontrak projek solar hibrid.

Terdahulu Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI