fbpx

Mahkamah: Lelaki tetak, tikam bekas kekasih direman 6 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki warga tempatan (depan kanan) direman 6 hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana menetak dan menikam bekas kekasihnya dalam satu kejadian di Masai, Pasir Gudang semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga tempatan ditahan reman selama enam hari kerana bertindak ganas menetak dan menikam bekas teman wanitanya selepas mangsa enggan meneruskan hubungan cinta bersama suspek.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 30 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Khalida Farhana Abu Bakar, di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh tiba ke pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut oleh pengawal keselamatan sebuah kediaman pangsapuri di sekitar Masai, dekat sini pada pukul 1.44 petang, semalam.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan terdengar pergaduhan di unit kediaman berkenaan sebelum mendapati suspek memegang pisau dan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

“Suspek bertindak mencederakan mangsa dengan menetak di beberapa bahagian badan dan menikam mangsa, menyebabkan mangsa luka di bahagian muka, lengan dan pergelangan tangan, selain cedera ditikam dibahagian rusuk.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana marah terhadap mangsa yang enggan meneruskan hubungan percintaan antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sohaimi, sehubungan itu, pihaknya menahan lelaki tersebut selain turut merampas pisau sepanjang 19 sentimeter yang digunakan dalam kejadian tersebut.

“Pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun beserta denda atau sebat,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI