KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan petang bagi keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar kes rasuah menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes tersebut.
Hakim Mohamed Zaini menetapkan petang ini selepas mendengar permohonan itu daripada kedua-dua belah pihak.
Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Jagjit Singh berhujah pihaknya mempertikaikan perkataan ‘kami’ yang mana dimaksudkan dalam penghakiman yang didakwa bocor itu.
Menurutnya, berdasarkan dokumen yang tular itu jelas menunjukkan ia dibuat oleh mereka yang mempunyai pengetahuan dalam nota keterangan mahkamah selain mereka turut memberi pandangan mengenai kreadibiliti saksi-saksi.
“Saya tertanya-tanya siapa yang mengarahkan untuk membuatnya? Pastinya ia diberi oleh mereka yang mempunyai kuasa.
“Saya tidak rasa ia disediakan oleh seorang sahaja. Siapa mereka ini? saya rasa ia lebih dari seorang kerana dokumen menyatakan ‘We’ (kami-dokumen dalam Bahasa Inggeris).
Sementara itu, Timbalan Pendakwab Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahan balasnya berkata Rosmah bergantung kepada dokumen yang ditulis oleh Raja Petra Kamaruddin dalam permohonannya itu.
“Dia adalah penulis yang menulis ikut bagaimana dia dibayar. Dokumennya (didakwa sebagai draf penghakiman) adalah sampah. Pemohon tidak sewajarnya mempertikaikan integriti dan cara kerja hakim,” katanya.
Hari ini mahkamah terlebih dahulu mendengar permohonan Rosmah supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu.
Sepatutnya, pagi ini mahkamah akan mengeluarkan keputusan sama ada Rosmah disabitkan bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah itu.
Kelmarin, Rosmah dalam notis usul yang difailkan dan afidavit sokongan yang diikrarkannya, isteri bekas Perdana Menteri meragui integriti hakim berkenaan ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Notis usul bagi menyokong permohonan itu difailkan melalui Tetuan Akberdin & Co. manakala kertas kausa diserahkan kepada pihak pendakwaan pada hari yang sama.
Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.
Rosmah menyatakan, pendedahan penulis artikel itu menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap Mohamed Zaini untuk menghakimi kes projek solar dan selanjutnya mengumumkan keputusan yang dijadualkan esok.
Sehubungan itu, Rosmah memohon Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada keseluruhan perbicaraan manakala keputusan yang dijadualkan digantung sementara menunggu pelupusan permohonannya. – KOSMO! ONLINE