DUNGUN – Siasatan awal polis percaya mayat kesan kelar dileher di sebuah ladang kelapa sawit Felda Kerteh 6 di sini pada Isnin lalu berkemungkinan disebabkan kemalangan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ia berikutan penemuan beberapa petunjuk kira-kira 650 meter dari lokasi kejadian.
“Kita berjaya menemui motosikal jenis Modenas Kriss yang dipercayai dinaiki mangsa sewaktu kejadian.
“Motosikal itu dijumpai dalam keadaan terbalik selain kesan tayar pada kawasan berbukit dan tidak rata menunjukkan ia telah tergelincir sebelum kejadian.
“Selain itu, sebatang pemotong buah kelapa sawit dengan kesan darah pada bahagian sabit juga ditemui,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, banyak kesan tompokan darah juga dikesan dari lokasi motosikal hingga mayat lelaki itu dijumpai.
Jelas beliau, setakat ini, polis percaya mangsa berusia 42 tahun berkenaan berkemungkinan terlibat kemalangan sewaktu menunggang motosikal sebelum lehernya terkena sabit pemotong buah kelapa sawit dibawanya.
Sehubungan itu, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Sabit yang berlumuran darah itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Kosmo! Online Selasa lalu melaporkan seorang pengurus ladang yang dalam perjalanan pulang ke rumah tergamam menemui mayat lelaki terbaring di ladang kelapa sawit. – KOSMO! ONLINE