PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Shila Amzah memohon maaf dengan tindakannya yang membuang gula-gula ketika membuat persembahan mendendangkan lagu Khilaf Asmara pada Konsert Merdeka 65 siaran TV2 kelmarin.
Selepas aksi spontan tersebut tular, pemilik nama penuh NurShahila Amir Amzah, 32, itu menerusi satu hantaran Instagram memberitahu perkara tersebut dilakukannya kerana demam dan batuk yang dihidapinya.
“Maaf sebab sekali lagi lupa buang gula-gula.
“Akibat demam, makan ubat batuk, selesema dan minum kopi pada pukul 11.30 malam,” katanya ringkas.
Difahamkan, aksi buang gula-gula sebegitu bukan kali pertama dilakukan penyanyi lagu Memori Tercipta berkenaan.
Sebelum ini dia juga pernah mengeluarkan gula-gula daripada mulutnya ketika bertanding di peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-36 tahun lalu.
Semalam, video memaparkan dia membuang gula-gula di atas pentas mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
“Sekali cukuplah, ini sudah jadi kebiasaan pula,” komen netizen.
“Dia buat lagi, hendak dijadikan trademark ke macam mana?” soal pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE