KETIKA sekolah rendah dahulu, kita sering ditanya tentang cita-cita atau kerjaya impian yang ingin dicapai.
Maka, ramailah yang menyenaraikan cita-cita mereka. Ada yang ingin jadi polis, ada juga yang bersemangat menjadi askar dan anggota bomba.
Bagi mereka yang lebih terbuka, kerjaya-kerjaya profesional seperti guru, doktor, peguam, akauntan dan jurutera pasti jadi pilihan.
Bagaimanapun daripada kesemua pilihan itu, jarang sekali atau mungkin tiada seorang pun rakan kita yang memilih untuk menjadi penjawat awan.
Hakikatnya, penjawat awam bukanlah satu kerjaya, namun ia adalah istilah yang diberikan kepada kumpulan pekerja yang berkhidmat di kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Ini bermakna, kerjaya seperti polis, bomba, askar dan guru meletakkan seseorang itu dalam kumpulan penjawat awam atau lebih mudah dipanggil kakitangan awam.
Tanpa mengira pangkat, gred mahupun jawatan, mereka yang bergelar penjawat awam ini secara umumnya akan menerima faedah dan kemudahan masing-masing.
Paling popular pastinya mengenai pinjaman bank sama ada untuk pembelian kereta, rumah ataupun pinjaman peribadi. Proses kelulusan tersangatlah mudah.
Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan lain seperti rawatan kesihatan di hospital kerajaan. Kos rawatan bagi anak-anak termasuk ibu bapa adalah ditanggung.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberi khabar gembira kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara menerusi pengumuman kenaikan gaji.
Selain kenaikan gaji, pelbagai lagi faedah telah diumumkan, sekali gus memberi gambaran betapa bertuahnya mereka yang bergelar penjawat awam.
Hakikatnya, faedah yang diterima ini tidak hanya terhenti selepas seorang pejawat awam itu bersara, namun ia berterusan menerusi skim pencen yang disediakan.
Justeru, tidak peliklah apabila saban tahun jumlah mereka yang memohon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) semakin bertambah.
Di pihak rakyat, kita bersyukur dengan pendekatan kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan penjawat awam, namun dalam masa yang sama, kualiti penyampaian perkhidmatan perlu dipertingkatkan.
Pendek kata, biarlah kualiti kerja itu setimpal dengan faedah dan kemudahan yang dinikmati selama ini.