fbpx

Banjir Pakistan terburuk dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan dari udara menunjukkan kawasan kediaman yang dinaiki air di bandar Dera Allah Yar selepas hujan monsun lebat di daerah Jaffarabad, wilayah Balochistan kelmarin. - AFP

ISLAMABAD – Usaha untuk membantu berpuluh-puluh juta penduduk yang terjejas banjir ditingkatkan kelmarin selepas hujan monsun tanpa henti menenggelamkan satu pertiga negara Pakistan dan meragut lebih 1,100 nyawa.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyifatkan banjir kali ini ‘terburuk dalam sejarah Pakistan’ dan menambah, peruntukan sekurang-kurangnya AS$10 bilion (RM44.6 bilion) diperlukan untuk membaiki infrastruktur rosak di seluruh negara itu.

Hujan monsun yang bermula Jun lepas, menyebabkan banjir besar melanda Pakistan. Bencana itu menenggelamkan sebahagian besar tanaman penting dan mengakibatkan lebih satu juta kediaman sama ada musnah atau rosak.

Pihak berkuasa dan badan-badan amal bergelut untuk menyegerakan penyampaian bantuan kepada lebih 33 juta mangsa banjir, tugas yang mencabar kerana banyak kawasan terputus hubungan selepas jalan raya dan jambatan rosak teruk.

Penduduk yang hilang tempat tinggal mengembara di tanah kering dalam usaha mencari tempat berlindung di samping mendapatkan bekalan makanan dan air minuman.

“Demi Tuhan tolonglah kami. Kami berjalan kaki selama tiga hari untuk sampai ke sini. Tiada apa lagi yang tinggal. Kami hanya berjaya menyelamatkan nyawa kami,” kata Qadir, 35, yang mendirikan khemah bersama keluarga besarnya di atas jalan raya dekat bandar Sukkur, selatan Pakistan.

Di selatan dan barat Pakistan, penduduk bersesak-sesak di lebuh raya bertingkat dan landasan kereta api untuk melarikan diri dari dataran yang dipenuhi lautan air  banjir.

“Kami tidak mempunyai ruang untuk memasak makanan. Kami memerlukan bantuan,” kata Rimsha Bibi yang merupakan pelajar sekolah di Dera Ghazi Khan, tengah Pakistan kepada agensi berita AFP.

Pakistan menerima hujan lebat yang kerap kali mengakibatkan kerosakan semasa musim tengkujuh. Namun, hujan monsun itu amat penting untuk pertanian dan bekalan air.

Bagaimanapun, hujan pada musim tengkujuh tahun ini paling lebat dan tidak pernah dilihat selama tiga dekad.

Pegawai-pegawai di Pakistan menyalahkan perubahan iklim dunia, yang menyebabkan cuaca ekstrem semakin kerap dan bertambah buruk di seluruh dunia.

Bencana itu melanda ketika Pakistan berdepan dengan kegawatan ekonomi.

Kerajaan negara Asia Selatan itu telah mengisytiharkan darurat dan merayu bantuan antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, sebilangan penerbangan bantuan telah tiba sejak beberapa hari lalu termasuk dari China, Turki dan Emiriyah Arab Bersatu, manakala negara lain seperti Kanada, Australia dan Jepun juga telah menjanjikan bantuan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan rayuan rasmi untuk mendapatkan dana $160 juta (RM717 juta) kelmarin bagi membiayai bantuan kecemasan kepada mangsa banjir Pakistan. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI