fbpx

Australia jadi sirkit pertama WHBC 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Halal Development Corporation Berhad (HDC) akan menganjurkan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2022 (WHBC 2022) buat kali pertamanya di luar Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, untuk penganjuran edisi ke-14 ini, WHBC akan berlangsung selama dua hari bermula 1 September ini di Pullman Albert Park, Melbourne, Australia.

Menurut beliau, tujuan utama pihaknya membawa persidangan itu ke luar Malaysia adalah untuk mengembangkan lagi potensi halal ke peringkat global.

“Sebelum ini, penganjuran yang dibuat dalam negara ha­nya tertumpu kepada pemain industri di dalam negara sahaja dan pesertanya juga adalah sama sebelum ini.

“Kali ini, kita cuba membawa WHBC ini keluar negara kerana kita mahu industri halal ini bukan sahaja tertumpu di dalam negara malah pemain industri dari luar negara juga boleh memanfaatkan platform yang disediakan ini,” katanya kepada Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.

Hairol Ariffein menerangkan, WHBC pada kali ini juga mendapat sokongan penuh daripada Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Austra­lia (Austrade) dan Kerajaan Ne­geri Victoria.

Bertemakan “Peluang Halal dalam Dunia Tanpa Sempadan”, WHBC 2022 diadakan secara fizikal sepenuhnya dan bakal dihadiri kira-kira 300 de­legasi iaitu 100 dari Malaysia, manakala 200 lagi dari Australia.

Jelas beliau, pemilihan Australia sebagai sirkit pertama WHBC adalah kerana kedua-dua negara merupakan rakan perdagangan dalam industri halal sejak sekian lama terutama menerusi sektor perkhidmatan tenusu, daging, perhotelan dan industri pembuatan.

“Jika dilihat Australia mempunyai pasaran halal antara yang terbesar di dunia dan kita mahu pemain industri antara kedua-dua negara dapat memanfaatkan platform supaya mereka dapat membawa hasil positif untuk perniagaan dan industri.

“Selain itu, industri halal di Australia ketika ini sedang pesat berkembang, bukan sahaja dari industri makanan, tetapi juga bidang lain antara­nya farmaseutikal dan juga ke­sihatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hairol ­Ariffein, berkata, selepas Australia, sirkit WHBC ini akan menjelajah ke beberapa buah negara lagi dalam usaha untuk membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pasaran halal di negara baharu.

“Selepas Australia, kita akan ke United Kingdom pada hujung tahun ini dan kemudian akan ke Taiwan dan Qatar pada tahun depan,” katanya beliau.

Antara topik dibincangkan kali ini adalah isu dan peluang dalam keselamatan makanan; keselamatan dan kelestarian; ekosistem ramuan halal; ke­tangkasan perniagaan halal melalui pendigitalan; kewangan dan perbankan halal; pelancongan mesra muslim serta rangkaian perdagangan halal. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI