WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan langkah baharu untuk mengekang penularan wabak cacar monyet dan melindungi golongan yang terancam, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Dalam satu kenyataan, White House menyatakan bahawa ia menyasarkan untuk membekalkan vaksin tambahan ke kawasan tertentu terutamanya lokasi acara dengan kehadiran besar individu lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTI).
White House secara khusus menyenaraikan tiga lokasi utama iaitu South Decadence di New Orleans, Atlanta Black Pride dan Pridefest di Oakland, California.
“Sebagai sebahagian daripada program perintis yang diumumkan awal bulan ini, Pentadbiran Joe Biden- Kamala Harris menyediakan vaksin tambahan bagi wabak cacar monyet dan menyediakan sokongan tambahan di lapangan.
“Ini termasuk meningkatkan akses kepada ujian saringan dan sumber pencegahan lain,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Pentadbiran Biden merancang untuk membekalkan negeri Louisiana sehingga 6,000 dos tambahan vaksin cacar monyet.
Ia juga akan menghantar 5,500 dan 2,400 dos vaksin setiap satu ke negeri Georgia dan Oakland.
Selain itu, 10,000 dos vaksin akan diasingkan untuk populasi yang mempunyai halangan untuk mendapatkan vaksin seperti kekangan masa atau stigma mengenai cacar monyet itu sendiri.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) mengumumkan bahawa akan menyediakan dana AS$11 juta (RM49.2 juta) untuk menghasilkan vaksin cacar monyet.
Dana pembangunan vaksin itu akan disalurkan kepada Grand River Aseptic Manufacturing di Grand Rapids, Michigan. – Agensi