fbpx

WMU mahu lahirkan ‘Thinking Athletes’ ke pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGERUSI Senat WMU, Profesor Dr. Nagarajah Lee (dua dari kanan), Suwaibah (tiga dari kanan) dan Mumba (dua dari kiri) bersama sebahagian pelajar menyertai program Larian Ambang Kemerdekaan di Seri Kembangan semalam.

PETALING JAYA – Universiti Wilmington Metropolitan (WMU) kampus Malaysia di bawah Fakulti Sains Sukan komited untuk melahirkan lebih ramai ‘Thinking Athletes’ selaras dengan dasar pembangunan sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Inisiatif itu bagi menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan selain satu usaha melahirkan usahawan dalam industri sukan yang berjaya dan cemerlang.

Bagi memberi impak yang lebih besar, WMU memanggil Olimpian dari Zambia, Prince Mumba untuk berkongsi ilmu kepada para pelajar dalam seminar sains sukan di kampus berkenaan di Seri Kembangan, Selangor semalam.

Mumba, 37, yang merupakan jurulatih olahraga Akademi Notre Dame di California, Amerika Syarikat (AS) turut bersama-sama mengambil bahagian dalam Larian Ambang Kemerdekaan sejauh dua kilometer.

Dekan Fakulti Sains Sukan WMU, Profesor Madya Mejar (K) Dr. Suwaibah Nasir berkata, ia merupakan satu perkongsian bermanfaat daripada Mumba yang pernah membuat dua penampilan di pentas Olimpik pada edisi 2004 di Athens, Greece dan 2012 di London.

SEBAHAGIAN tenaga pengajar WMU pada program seminar sains sukan yang diadakan di kampus Seri Kembangan semalam.

“Kami cuba menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan terutama bagi anak-anak golongan B40 dan M40 yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Mereka perlu diberi peluang dalam menggapai cita-cita sebagai salah seorang penyumbang dalam industri sukan negara. Ia secara tidak langsung taraf hidup golongan ini akan terbela dan peluang yang diceburi lebih meluas.

“Bidang sukan tiada sempadan, justeru sukan adalah agen perpaduan anak bangsa dan diharap mampu meletakkan imej Malaysia di mata dunia,” katanya.

Inisiatif daripada WMU secara tidak langsung mampu melahirkan lebih ramai atlet universiti untuk mewakili Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan Sukan Universiti Dunia (Universiade).

Sebagai rekod, kontinjen Malaysia muncul naib juara pada edisi AUG 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand selepas memungut keseluruhan 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI