fbpx

White House umum sidang kelaparan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre. - The Hill

WASHINGTON – White House mengumumkan akan mengadakan persidangan Kelaparan, Nutrisi  dan Kesihatan  pertama dalam tempoh lebih 50 tahun ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha menangani kenaikan inflasi  yang menjejaskan harga makanan di seluruh negara, lapor laman berita RT kelmarin.

Ditetapkan pada 28 September ini di Washington, DC, persidangan itu akan menghimpunkan ‘pemimpin kerajaan, ahli akademik, aktivis dan rakyat AS daripada  semua lapisan masyarakat’. Ia akan memberi tumpuan kepada isu melibatkan berjuta-juta rakyat terutamanya jaminan makanan berikutan kenaikan mendadak harga barang keperluan. 

“Kami akan mengumumkan strategi nasional pada persidangan ini  iaitu  tindakan yang akan diambil oleh kerajaan dalam memangkin sektor awam dan swasta untuk memacu perubahan transformatif sekali gus  menangani kaitan antara makanan, kelaparan, pemakanan dan kesihatan,” kata  kenyataan mengenainya yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre.

Pentadbiran Presiden Joe Biden menyatakan, persidangan itu  bertujuan untuk meningkatkan akses dan kemampuan kepada  makanan, memperkasakan orang ramai untuk membuat pilihan makanan sihat dan meningkatkan penyelidikan keselamatan makanan di kawasan yang mengalami kemelaratan. Washington  juga mendakwa bahawa pihaknya merancang untuk menghapuskan kelaparan di AS sepenuhnya menjelang 2030.

Persidangan itu akan diadakan ketika inflasi memberikan tekanan pada bajet makanan ramai keluarga AS. Harga barangan di kedai-kedai runcit melonjak sekitar 12 peratus sejak tahun lalu, demikian menurut Indeks Harga Pengguna.

Kadar inflasi di bawah pentadbiran Biden pula mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun, mencecah  9.1 peratus pada Jun tahun ini dan mendatar pada 8.5 peratus. Ketika harga makanan, bahan api dan barangan pengguna meningkat, pentadbiran Biden berterusan berbelanja mewah dengan Presiden berkenaan memperuntukkan lebih AS$54 bilion (RM242.2 bilion)  untuk bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada Ukraine sejak Februari lalu.

Beliau juga meluluskan rang undang-undang belanjawan berjumlah AS$739 juta (RM3.314 trilion) untuk iklim, penjagaan kesihatan dan rombakan cukai awal bulan ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI