fbpx

Teruja luar biasa sambut Hari Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG sanggup datang awal pagi bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan Ke-65 di Padang Kota Lama, George Town di sini hari ini. IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Rakyat di negeri ini meluahkan keterujaan apabila sanggup datang awal pagi bagi menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 yang diadakan di Padang Kota Lama di sini hari ini.

Dianggarkan lebih 5,000 pengunjung hadir seawal pukul 6 pagi semata-mata mahu meraikan hari bersejarah itu selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

Pasangan suami isteri, Abdul Ghani Koh, 50 dan Julia Johari, 42, berkata, mereka tidak mahu melepaskan peluang meraikan Hari Kemerdekaan bersama dua anak kecil berusia enam dan tiga tahun.

Menurutnya, mereka sekeluarga sanggup membuat persiapan awal sejak awal Ogos ini termasuk memakai baju-t corak Jalur Gemilang sedondon termasuk menyewa baju bertemakan pahlawan kebangsaan untuk anak.

“Keterujaan menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini begitu luar biasa setelah dua tahun kami tidak berpeluang menyaksikan perbarisan secara langsung.

“Kali terakhir adalah pada tiga tahun lalu dan ketika itu anak sulung berusia tiga tahun. Perasaan kali ini juga memang lain daripada lain,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Sementara itu, seorang ibu yang juga guru dari Sekolah Kebangsaan Convent Pulau Tikus, Razikah Zainul Abidin, 50, pula memberitahu, sambutan kali ini dianggap sebagai sejarah dalam hidupnya apabila buat pertama kalinya dia hadir menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Usia sudah menjengah lima dekad dan hari ini adalah hari paling bermakna apabila dapat berpeluang melihat secara langsung acara perbarisan dengan ditemani anak tunggal perempuan ke-10 berusia tujuh tahun.

“Saya bawanya ke sini untuk sama-sama menghayati erti Kemerdekaan dan semangat pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu,” jelasnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI