PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan tambang percuma selama sebulan kepada orang kurang upaya (OKU) bermula hari ini sehingga 30 September melibatkan semua perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
Tawaran itu merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel, Bas Rapid Transit (BRT) atau bas henti-henti serta Rapid Mobiliti kepada semua OKU yang mempunyai kad OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media di ibu kota hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, kempen tersebut dapat memberi manfaat kepada golongan OKU yang menggunakan pengangkutan awam.
“Berdasarkan statistik Prasarana, jumlah purata penggunaan bulanan dalam kalangan OKU bagi perkhidmatan bas adalah seramai 23,527 orang, manakala rel pula 26,762 orang.
“Justeru, bersempena sambutan kemerdekaan tahun ini, Prasarana amat berbesar hati untuk menawarkan tambang percuma kepada golongan OKU sebagai tanda terima kasih kami kerana menggunakan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengguna OKU hanya perlu menunjukkan kad perakuan OKU dikeluarkan oleh JKM atau Kad Konsesi OKU MyRapid kepada pegawai stesen rel di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL yang memberi token khas untuk menikmati tambang percuma.
Bagi penggunaan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, penumpang OKU hanya perlu menunjukkan kad perakuan OKU atau kad konsesi OKU MyRapid kepada kapten bas bagi membolehkan mereka menikmati perjalanan percuma. – KOSMO! ONLINE