fbpx

Simpan 765 kg daun ketum dalam pondok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 3,066 gulungan plastik berisi daun-daun ketum seberat 765 kg yang dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Simpol Berlubang, Machang pada Ahad lalu. FOTO IHSAN POLIS

KOTA BHARU – Taktik lima lelaki yang menjadikan sebuah pondok di Kampung Simpol Berlubang, Machang dekat sini sebagai transit untuk menyimpan sebanyak 765 kilogram daun ketum gagal selepas polis berjaya menghidu kegiatan mereka pada Ahad lalu.

Kelima-lima lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 31 tahun itu dicekup kira-kira pukul 8 malam semasa mereka berada di dalam pondok berkenaan bersama daun-daun ketum yang bernilai kira-kira RM10,000.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pemeriksaan mendapati, sebanyak 3,066 gulungan plastik berisi daun-daun ketum berada di dalam pondok itu dan ia dipercayai disimpan di situ sebelum dihantar ke Selising, Pasir Puteh.

Menurutnya, daun-daun ketum itu disyaki akan dihantar kepada sepupu salah seorang suspek dengan upah sebanyak RM1,000 mengikut jumlah perjalanan yang telah ditetapkan.

“Berdasarkan siasatan, bekalan daun-daun ketum itu dibawa dari Sik, Kedah dan ia dihantar ke Kampung Gemang, Jeli sebelum di tempatkan di pondok tersebut buat sementara waktu.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Sambutan Ambang Merdeka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, tiga daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI