DALAM tempoh setahun selepas memulakan debut solo pada tahun lalu, penyanyi popular Lisa melakar sejarah peribadi apabila membawa pulang trofi pada MTV Video Music Awards 2022 (VMAs).
Penyanyi kumpulan Blackpink itu dinobatkan selaku pemenang kategori Best K-pop menerusi lagu debut solonya, Lalisa.
Malah, Blackpink juga turut memenangi trofi Best Metaverse Performance untuk PUBG Mobile pada majlis yang diadakan di Prudential Center, New Jersey, Amerika Syarikat.
Sejak dilancarkan secara rasmi pada 10 September tahun lalu, Lalisa mencatat sejarah membanggakan apabila memecah dua rekod Guinness World Records.
Catatan tersebut dicapai Lisa sebagai muzik video YouTube penyanyi solo paling banyak ditonton dalam masa 24 jam dengan jumlah tontonan 73.6 juta.
Rekod tersebut mengalahkan pencapaian yang pernah dicatat oleh penyanyi Taylor Swift menerusi lagu Me! pada 2019.
Selain itu, satu lagi rekod dipecahkan Lisa selaku artis solo K-pop pertama mencatat jumlah tontonan paling tinggi dalam masa 24 jam.