ISLAMABAD – Satu pertiga negara Pakistan ditenggelami air akibat banjir yang berpunca daripada hujan monsun paling lebat dalam sejarah,kata Menteri Perubahan Iklim Islamabad, Sherry Rehman.
“Negara ini menjadi seperti lautan, tiada lagi daratan kering untuk mengepam keluar air banjir,” kata Sherry kepada agensi berita AFP kelmarin.
Pakistan mempunyai keluasan 881,913 kilometer persegi, menjadikannya negara ke-33 paling besar di dunia dan lebih besar daripada Turkiye, Perancis serta Jerman.
Didiami oleh 242 juta penduduk, Pakistan juga merupakan negara yang mempunyai populasi kelima paling ramai di dunia.
“Apa yang berlaku di Pakistan sekarang bukan lagi hujan monsun biasa, ia adalah malapetaka iklim. Banjir kali ini mencetuskan krisis yang skalanya sukar untuk dibayangkan,” tambahnya.
Dalam wawancara berasingan bersama badan penyiaran awam Deutsche Welle, Sherry berkata, kerajaan terpaksa mengerahkan tentera laut untuk beroperasi dalam negara buat kali pertama dan bukannya di perairan Pakistan.
“Ini kerana daratan yang begitu luas telah ditenggelami air,” tambahnya.
Angka kematian akibat hujan monsun yang melanda Pakistan sejak pertengahan Jun lalu mencecah 1,061 kelmarin, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional.
“Lebih 3,000 jalan raya musnah, manakala 130 jambatan dan 495,000 kediaman rosak akibat banjir kilat, kata agensi berkenaan.
Pada minggu lalu Sherry menganggarkan bencana alam itu telah menjejaskan sekitar 33 juta penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, mangsa banjir bertindak mendirikan tempat berlindung sementara di seluruh negara di mana keadaan mereka adalah terdesak.
“Kehidupan di kem sementara ini menyedihkan. Kehormatan menjadi taruhan,” kata penduduk tempatan, Fazal e Malik. Dia berlindung di pekarangan sebuah sekolah yang kini menempatkan kira-kira 2,500 mangsa banjir di bandar Nowshera dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
“Saya berbau busuk dan tiada tempat untuk mandi. Kipas juga tiada,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Islamabad semalam melancarkan rayuan rasmi sebanyak AS$160 juta untuk membiayai bantuan kecemasan kepada Pakistan yang bergelut dengan banjir monsun paling buruk dalam tempoh satu dekad.
“Situasi dijangka menjadi semakin buruk dengan lebih banyak hujan diramalkan. Kami bersama-sama kerajaan (Pakistan) merancang rayuan kilat sebanyak AS$160 juta (RM717.6 juta) untuk pelaksanaan bantuan segera,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric dalam satu taklimat akhbar kelmarin.
PBB telah menggerakkan bantuan berjumlah sekitar AS$7 juta (RM31.4 juta) termasuk mengalihkan program dan sumber sedia ada untuk memenuhi keperluan yang lebih mendesak seperti makanan, air, bekalan ubat dan tempat tinggal.Tambahan AS$3 juta (RM13.4 juta) lagi dikeluarkan oleh tabung kecemasan PBB. – AFP