fbpx

Russia minta AS bayar pampasan kepada rakyat Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita Afghanistan menyeberangi jalan ketika pejuang Taliban menaiki konvoi untuk meraikan hari kemenangan mereka berhampiran kedutaan AS di Kabul pada 15 Ogos lalu. - AFP

WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) diminta  memberi pampasan kepada rakyat Afghanistan kerana pendudukan 20 tahun tentera Washington yang dianggap sia-sia, lapor laman berita RT semalam.

Perkara itu disuarakan  wakil Russia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Vassily Nebenzia.

AS mengerahkan  tentera ke Afghanistan pada tahun 2001 untuk memerangi kumpulan Taliban, rangkaian Al-Qaeda, dan kumpulan Islam  lain sebagai sebahagian daripada Perang Global Melawan Keganasan yang diisytiharkan selepas serangan pengganas 9/11 ke atas New York.

Bagaimanapun, Taliban kembali merampas Kabul dan menguasai Afghanistan pada tahun lalu semasa peringkat akhir pengunduran AS dan tentera Barat lain.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di New York kelmarin, Duta AS,  Linda Thomas-Greenfield menyatakan bahawa Russia tidak melakukan secukupnya untuk membantu ekonomi Afghanistan.

“Russia berhujah, seperti yang dilakukan oleh orang lain pada masa lalu, bahawa masalah Afghanistan adalah kesalahan ‘Barat’ dan bukan Taliban. Adakah ia benar?

“Ini soalan saya. Apa yang anda lakukan untuk membantu selain mengulangi masa lalu dan mengkritik orang lain? Jika anda bimbang wanita dan kanak-kanak Afghanistan sedang mati, bagaimana anda membantu mereka?” soal Thomas-Greenfield.

Utusan AS itu  terus mengatakan bahawa Russia tidak menyumbang apa-apa kepada Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Afghanistan PBB tahun ini dan menyebut sumbangan China juga begitu mengecewakan.

Nebenzia membalas dengan alasan bahawa Washington harus menanggung beban memandangkan tentera AS berada di negara teluk itu selama hampir dua dekad.

“Kenyataan sinikal sedemikian amat mengejutkan. Kami diminta mengeluarkan wang kami untuk membina semula negara yang ekonominya hampir musnah akibat 20 tahun pendudukan oleh AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Daripada mengakui kesilapan sendiri dan cuba memperbaikinya, kita kini dihukum kerana tidak mahu membayar bil orang lain. Tidak!  wahai bekas rakan kongsi Barat, anda perlu membayar sendiri atas harga kesilapan anda,” sindir Nebenzia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI