KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli berhubung hantaran di media sosial berkaitan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad yang didakwa berbaur fitnah.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas di jabatan berkenaan semalam.
“Pengadu telah terbaca satu hantaran melalui blog rafiziramli.com berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat Rafizi didakwa mengandungi pembohongan bertujuan merosakkan nama baik Abd. Latiff.
“Lelaki itu turut menafikan dakwaan bahawa Abd. Latiff mempunyai isteri kedua yang mendapat kontrak pertahanan bernilai puluhan juta ringgit bagi projek kapal tempur pesisir (LCS) semasa perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Beh, semakan polis juga mendapati kenyataan terbabit telah disiarkan di laman Facebook, Twitter dan dua video dimuat naik di TikTok serta Instagram milik Rafizi pada beberapa tarikh yang berlainan.
“Susulan itu, polis akan memanggil Rafizi dalam terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE