IPOH – Seorang pesara tentera menzahirkan rasa sebak ketika menyambut hari kemerdekaan tanah air di sini, hari ini, selepas dua tahun tidak dapat melihat perarakan sempena hari kebangsaan ekoran ekoran pandemik Covid-19.
Koperal Mokhtar Sulaiman, 75, ketika ditemui pemberita berkata, sebagai individu yang pernah menjadi tentera dan kini bersara dia sentiasa menanti ketibaan 31 Ogos setiap tahun bagi meraikannya serta mengenangkan perjuangan beliau bersama rakan-rakan tentera mempertahankan kedaulatan tanah air.
Menurut, rindunya terhadap kenangan semasa bergelar tentera terubat apabila melihat barisan angkatan tentera malaysia (ATM) bersama aset-asetnya berarak di hadapan Dewan Bandaran Ipoh.
“Melihat mereka berarak dengan penuh semangat di samping sorakan daripada orang ramai membuatkan saya berasa bangga dan sebak pada masa yang sama.
“Alhamdulillah selepas dua tahun tidak ada macam ini (perarakan kemerdekaan) akhirnya ia kembali dan saya masih diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia oleh Allah SWT untuk menyaksikannya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau berkata ketika ditemui selepas menerima sumbangan wira negara yang disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri, di sini, hari ini. KOSMO! ONLINE