ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki etnik Rohingya dipercayai mati lemas selepas menjala ikan di Sungai Melayu di Gelang Patah di sini petang tadi.
Mangsa, Anayatullah Habi Rahman, 27, lemas setelah dibawa arus ketika hendak menyeberang sungai selepas selesai menjala ikan bersama dua rakannya di Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Gelang Patah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Khairi Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3 petang.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri mencari dan menyelamat tiba di lokasi kejadian pada pukul 3.18 petang.
“Difahamkan mangsa pergi menjala ikan bersama rakannya yang juga warga Myanmar pada pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Mangsa dan rakannya perlu menyeberangi sungai untuk pulang ke rumah dan pada ketika itulah mangsa dihanyutkan arus dan hilang,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Khairi berkata, dua rakannya cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun tidak berdaya berbuat demikian.
“Selepas hampir tiga jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan, mangsa ditemui di kedudukan 15 meter dari lokasi dilaporkan hilang tersangkut pada ranting-ranting kayu hanyut,” katanya.
Jelas beliau, mayat mangsa yang ditemui kira-kira pukul 7 malam itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE