MADRID – Sebuah perkampungan ‘hantu’ dari era Empayar Rom ditemui hampir 2,000 tahun selepas ia hilang di bawah air, lapor akhbar The Sun semalam.
Berdasarkan rakaman dron pada minggu lalu, kampung yang hilang itu tidak disentuh selama berabad-abad.
Pekan purba itu tenggelam di bawah takungan air dekat Sungai Lima di barat laut Sepanyol.
Sekitar tahun 75 Masihi, runtuhan itu dipercayai merupakan lokasi kem tentera Rom yang dinamakan Aquis Querquennis.
Menurut pakar-pakar sejarah, kem purba itu dibina di Galicia, sekitar 531 kilometer (km) dari Madrid pada kemuncak Empayar Rom hampir 2,000 tahun lalu.
Kem itu menempatkan sehingga 600 tentera Rom, demikian menurut majalah Atlas Obscura.
Lokasi itu dikosongkan beberapa dekad selepas dibina sebelum dibanjiri air sungai.
Kem itu turut memiliki kuil, bilik mandi air panas, berek tentera dan hospital. Kemarau teruk di seluruh Sepanyol mendedahkan runtuhan itu. – Agensi