PETALING JAYA – Keputusan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk melepaskan enam pesawat super jumbo miliknya, Airbus A380-800 dianggap selari dengan strategi pemulihan syarikat pasca pandemik.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, syarikat induk penerbangan nasional, Malaysia Airlines itu memilih strategi untuk mengukuhkan perniagaan penerbangan domestik dan serantau, yang dilihat kurang berisiko kepada Kumpulan berbanding penerbangan jarak jauh.
Jelasnya, ia dapat dilihat menerusi pengumuman pemerolehan 20 pesawat pengangkut badan lebar, A330neo oleh MAG baru-baru ini yang sesuai untuk penerbangan jarak sederhana.
“Saya lihat prospek penggunaan A380 ini masih ada kerana boleh memberi penjimatan untuk penerbangan jarak jauh, namun Malaysia Airlines sukar mendapatkan kapasiti penuh untuk pesawat ini jadi setiap kali penerbangan dilakukan ia berisiko mengalami kerugian.
“Ini faktor utama mereka memilih untuk menjual, pada masa sekarang meskipun tidak digunakan, mereka hanya perlu membayar hutang bagi pesawat ini dan tidak menanggung risiko kerugian bagi setiap perjalanan.
“Satu lagi faktor ialah hak mendarat di lapangan terbang utama dunia yang terhad, meskipun kita memiliki pesawat, tidak semestinya kita dibenarkan mendarat terutamanya melibatkan lokasi popular,” katanya ketika dihubungi semalam.
Julai tahun lalu, Malaysia Airlines membuka tender untuk menjual kesemua enam pesawat A380 miliknya, sejajar dengan Pelan Perniagaan JanAgka Panjang 2.0 yang diumumkan pada tahun 2019 bagi menyelamatkan syarikat daripada terus mencatatkan kerugian.
Malaysia Airlines merupakan antara pelanggan Airbus terakhir yang membeli pesawat berkenaan dan hanya menerima penyerahan pertamanya pada 2012.
Menurut Ahmed Razman, meskipun proses menjual A380 itu dianggap rumit kerana melibatkan nilai yang tinggi, ia bukan mustahil kerana terdapat beberapa syarikat penerbangan gergasi dunia yang telah mencapai kestabilan pasca pandemik setelah menerima bailout (bantuan kewangan) daripada kerajaan mereka.
“Jadi mereka mengambil kesempatan ini untuk berkembang secara agresif,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE