KOTA TINGGI – Hujan lebat mengiringi majlis pengebumian jenazah empat beranak yang maut dalam nahas dengan sebuah treler di Jalan Kampung Semanggar Dalam semalam.
Kesemua mereka sepatutnya dikebumikan dalam satu kubur, namun terpaksa diasingkan berikutan jenazah Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, disahkan positif Covid-19 dan dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Jenazah kanak-kanak itu yang tiba terlebih dahulu di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasir Raja pada pukul 3.45 selamat dikebumikan pada pukul 4.30 petang.
Sementara jenazah Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27 juga bayi mereka Nurfatihah Jannah berusia 9 bulan selamat dikebumikan dalam satu liang pada kira-kira pukul 5.30 petang.
Terdahulu, jenazah tiga beranak itu dibawah ke Masjid Jamek al-Sharif Felda Pasir Raja untuk disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir oleh keluarga.
Kosmo! semalam melaporkan empat beranak terkorban apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Kampung Semanggar Dalam di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 1.20 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 dan sebuah treler mambawa muatan pasir.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Kota Tinggi menghala ke Kampung Semanggar Dalam gagal mengawal kenderaan ditunggang semasa melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan.
Akibatnya, mereka bertembung dengan sebuah lori jenis Hohan yang berada di laluan bertentangan.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan penunggang dan semua pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 31 tahun tidak mengalami kecederaan.-KOSMO! ONLINE