JAKARTA – Satu rakaman video di Madura, Indonesia menjadi tular apabila memaparkan sebuah majlis pertunangan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, lapor laman berita Wolipop semalam.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam akaun media sosial @taniapesekcz, kanak-kanak bernama Fika itu dilihat duduk dikelilingi barang-barang hantaran.
Turut kelihatan seorang wanita menyarung cincin tunang ke jari manis kanak-kanak itu sama seperti majlis pertunangan orang dewasa.
“Tahniah Fika, kecil-kecil sudah jadi tunangan orang. Semoga gembira selalu,” tulis kapsyen video.
Menurut pemilik akaun, Tania, acara itu berlangsung di Bangkalan, Madura pada minggu lepas dan Fika ditunangkan dengan seorang budak lelaki berusia lima tahun.
“Ini adalah adat tradisi biasa di daerah saya di mana anak-anak dijodohkan sejak kecil dan kebiasaannya akan kekal hingga dewasa.
“Memang banyak komen negatif dan kritikan diterima namun mereka tidak memahami adat budaya masyarakat kami,” jelas Tania. – Agensi