Setiap orang bercakap mengenai survival hidup ketika ini. Masing-masing ada cerita dan liku hidup yang perlu ditempuhi.
Golongan M40 dan T20 juga terkesan sehingga terpaksa mencari tadika yang lebih murah yuran bulanannya lantaran kegawatan ekonomi rumah tangga.
Bagi B40, keperitan itu sudah lama dirasakan. Bertambah pedih apabila terpaksa menetap di bandar-bandar besar untuk mencari rezeki mengisi perut ahli keluarga masing-masing.
Jangan ingat mereka yang dilihat keluar daripada bangunan pejabat indah-indah di tengah kota pada waktu tengah hari dan petang masih menyimpan ringgit yang tebal.
Selalunya, gaji yang masuk hanya singgah satu atau dua detik di dalam akaun sebelum ia pergi pula ke akaun lain seperti kata pepatah moden “daripada bank ia datang, kepada bank ia kembali.”
Menunggu hari gaji dirasakan begitu panjang. Apatah lagi di dalam akaun atau dompet hanya tinggal RM50 sahaja untuk dibelanjakan.
Bagi si bujang, nasi, telur dadar dan sup kosong mungkin sudah mencukupi untuk disantap sementara menunggu akaun kembali bernafas selepas ditambah nilai oleh majikan masing-masing.
Kalau hendak senang, jual sahaja barangan berharga yang ada dalam simpanan dengan harga murah asalkan ada duit untuk membeli makanan.
Situasi itu tidak sama dengan mereka yang sudah berkeluarga. Belanja sekolah, minyak, tol, makanan harian, barang dapur semua itu memerlukan modal yang besar dan tidak cukup kalau sekadar mempunyai RM50 atau RM100 pada tengah bulan.
Jadi, perkara mudah yang muncul di fikiran ialah melibatkan diri dengan e-hailing. Walaupun kadang-kadang situasi dirasakan tidak memihak kepada pemandu atau rider, namun apa pilihan yang ada.
Lagipun ia fleksibel dan tidak perlu patuh kepada arahan sebab tiada majikan. Jika rajin, dapatlah banyak, jika sebaliknya, makan saja apa yang ada.
Namun, dalam keghairahan mengejar pendapatan sampingan, kes pembunuhan pemandu Grab yang mayatnya ditemui dalam keadaan terikat dan berdarah di dalam but kereta kelmarin seakan mematikan semangat para pemandu e-hailing.
Jenayah tanpa diduga itu menimpa ke atas seorang lelaki yang dibunuh ketika dia sedang mencari rezeki untuk keluarganya.
Penumpang zalim sepatutnya diharamkan terus daripada menggunakan mana-mana aplikasi e-hailing. Pihak berkuasa dan pengendali aplikasi perlu ada mekanisme tertentu bagi melindungi nyawa pemandu.
Jika dilihat kepada apa yang ada, pemandu hanya dilindungi Socso, insurans dan Pertubuhan Keselamatan Sosial tetapi tiada pula perlindungan bagi pencegahan jenayah. Tempat yang selamat dirasakan sebaliknya. Pekerjaan yang pada mulanya dimulai dengan 1,001 impian kini mengundang resah.
Jadi, berdasarkan situasi di atas, apakah yang akan anda lakukan sekiranya duit di dalam simpanan hanya tinggal di bawah RM100 sedangkan tarikh gaji akan datang, 14 hari lagi untuk tiba?