fbpx

4 beranak maut: Nenek janji jaga anak sulung mangsa dengan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosni menunjukkan gambar kenangan arwah anak, menantu serta cucunya yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Kampung Semanggar Dalam, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Waris mangsa kemalangan maut yang meragut nyawa empat beranak di Jalan Kampung Semanggar Dalam berjanji akan menjaga anak sulung Allahyarhamah Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, dengan baik.

Ibu Siti Jamaliah, Rosni Sintingan, 53, berkata, anak perempuannya itu mempunyai seorang anak sulung, Nursuzila Abdul Rahman, 8, hasil perkongsian dengan suami terdahulu yang dijaganya sejak berusia lima bulan.

Katanya, cucunya itu bagaimanapun masih terkejut dan kerap menangis selepas menerima berita kematian ibu, ayah tiri serta adik-adiknya itu.

“Berita kematian ibu, ayah dan adiknya memang mengejutkan dia. Semalam kami sudah beritahu, namun dia seperti masih tidak faham.

“Bila dia lihat kami bawa pulang barang-barang ibunya dia bertanya adakah ibu hendak tinggal bersama. Kami jelaskan sehingga dia faham dan terus dia menangis.

“Kami sekeluarga akan berusaha bagi memberi jagaan sebaik mungkin terhadapnya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasir Raja di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosni berkata, Allahyarhamah Siti Jamaliah merupakan anak yang soleh serta tidak pernah berasa jemu untuk mengambil berat berkaitan ahli keluarga.

“Dia merupakan anak yang baik dan mudah bersimpati dengan kesusahan ahli keluarga yang lain. Sebelum dikebumikan saya lihat wajahnya tidak berubah seperti dulu dan berseri-seri,” katanya lagi.

Sementara itu, adik Siti Jamaliah, Rosdiana Mohd Yatim, 22, berkata perancangan ahli keluarganya untuk makan bersama-sama sempena cuti umum pada Hari Kemerdekaan tidak kesampaian.

Menurutnya, sebaliknya mereka terpaksa menerima hakikat akan berkumpul bagi menyempurnakan perjalanan terakhir arwah kakaknya.

“Kami bercadang mahu makan beramai-ramai di Telok Sengat di Kota Tinggi petang ini.

“Minggu lalu arwah datang ke rumah dan minta saya menjaga anak bongsu kerana ada urusan di luar dan saya sempat bermain-main dengan bayinya.

“Ramai yang ingat kami adalah anak kembar kerana wajah saya dan arwah seiras serta hubungan kami memang rapat.

“Apabila dia sedar kita dalam kesusahan, dia pasti akan membantu biarpun dia hidup sederhana,” katanya dalam nada sedih.

Kemalangan meragut nyawa empat beranak itu dipercayai akibat penunggang motosikal gagal mengawal kenderaan sebelum bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27.

Dua anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5 juga Nurfatihah Jannah berusia 9 bulan turut maut di lokasi kejadian akibat cedera parah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI