KUALA TERENGGANU – Seramai 34 bayi merdeka dilahirkan pada Hari Kebangsaan ke-65 di seluruh Terengganu hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, 25 bayi tersebut dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini; Hospital Kemaman (empat), Hospital Setiu (dua) serta Hospital Dungun, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu pula masing-masing satu bayi.
“Di HSNZ hari ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Co-opbank Pertama dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk meraikan bayi merdeka yang bertuah.
“Semoga cenderahati disampaikan untuk kesemua bayi ini sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi kegembiraan dengan kedua ibu bapa mereka,” katanya di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA), HSNZ di sini hari ini.
Sementara itu, beberapa ibu yang ditemui teruja kerana ditakdirkan melahirkan bayi mereka pada tarikh keramat bersejarah iaitu 31 Ogos.
Seorang guru, Nik Solihah Marzuki, 33, berkata, tarikh kelahiran bayi keduanya itu sepatutnya ialah pada 11 September depan namun beliau terpaksa dikejarkan awal ke HSNZ kerana merasa tanda sakit untuk melahirkan pada petang kelmarin
“Alhamdulillah dapat juga saya seorang anak lelaki ‘hero merdeka’. Ini kelahiran pertama bayi 31 Ogos dalam keluarga kami dan saya harap bayi ini akan menjadi anak yang berbakti untuk agama, bangsa dan negara pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE