PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, salah satu ‘kejayaan’ Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berkenaan menolak bukti yang jelas dan menerima kenyataan tidak berasas.
Menurut Mahathir, selama empat tahun Najib dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan segala dokumentasi dan cek yang didedah berkenaan duit SRC ke dalam akaun Ambank Najib serta dibelanja olehnya kononnya tidak benar.
Kata beliau, Najib tidak tahu akan adanya duit ini dan dia belanja duit tanpa mengetahui adanya duit ini.
“Jika ada duit ini, ia adalah sumbangan dari Raja Arab. Apa bukti? Tidak perlu. Percaya sahajalah dakwaan Najib, bukti tidak perlu dan bukti adalah penipuan, tanya AG (Peguam Negara), Najib tidak salah.
“Yang benar ialah Mahathir memiliki duit berbillion, duit ini ada di Switzerland dan Taiwan, apa bukti? Bukti tidak perlu, Najib tahu, percayalah sahaja.
“Yang benar ialah semua anak Mahathir menjadi billionaire semasa Mahathir jadi Perdana Menteri, apa bukti, tidak ada, tetapi Najib tahu, “tulis Mahathir di laman Facebooknya hari ini.
Kata Mahathir lagi, selama empat tahun Najib dibicara, puluhan saksi memberi maklumat akan kesalahan Najib serta dokumen dan bukti lain dipamer.
“Hakim menulis 800 muka surat berkenaan yang didedah oleh saksi, bukti, hasil siasatan, namun bagi Najib semua yang dicatit oleh hakim tidak benar.
“Hakim ada ‘conflict of interest,’, hakimnya berat sebelah. Yang benar ialah penafian oleh Najib, oleh anaknya dan peguam upahannya. Sembilan orang hakim, tiga mahkamah, bicara empat tahun, semua tidak betul, fitnah, ” kata beliau.
Jelas Mahathir lagi, apa yang Najib anggap betul adalah dakwaannya dan peguam upahannya, bukti, saksi, dokumentasi tidak perlu, semua tidak betul.
“Ini ialah satu kejayaan Najib, menjadi yang benar tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar, “ujarnya.-KOSMO! ONLINE