TAIPEI – Seorang wanita di Taipei meninggal dunia sehari sebelum majlis perkahwinannya selepas pembedahan sedut lemaknya mengalami kegagalan, lapor laman berita Wolipop kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Lin, pergi ke Klinik Kecantikan dan Estetik Perubatan Fuzhneyan di wilayah Datong, Taipei sehari sebelum berkahwin pada 17 Ogos lalu.
Lin dijadualkan menjalani rawatan sedut lemak di bahagian lengan dan perutnya menerusi prosedur selama lima jam.
Dia yang ditemani tunang di klinik itu bagaimanapun berdepan komplikasi yang teruk semasa proses tersebut.
“Saya melihat petugas klinik keluar masuk dewan pembedahan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa Lin sudah meninggal dunia.
“Mereka cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan namun tidak berjaya,” kata tunangnya.
Keluarga Lin dan tunangnya mengugut untuk menyaman klinik berkenaan atas dakwaan kecuaian perubatan, namun laporan bedah siasat mengenai punca kematian masih belum disiapkan oleh pihak berkuasa. – Agensi