JOHOR BAHRU – Jeritan seorang wanita warga asing yang didengari jiran suspek berjaya menyelamatkan dirinya setelah dikurung di dalam sebuah rumah selama tiga hari di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 37 tahun itu dipercayai warga Indonesia dikurung seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dalam rumah berkenaan.
Beliau berkata, jiran suspek yang merupakan wanita berusia 34 tahun itu memaklumkan perkara tersebut kepada anggota polis setelah terdengar mangsa menjerit meminta tolong pada pukul 11.45 pagi.
“Bertindak atas maklumat pada 1.30 petang sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.
“Pihak polis berjaya menyelamatkan mangsa yang dikurung dalam rumah dalam keadaan pintu dikunci dengan mangga dari luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah tetapi telah dikurung di rumah berkenaan buat sementara waktu mendapatkan kerja itu.
Katanya, siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 36 dan 38 tahun pada pukul 3.30 petang hingga 9.42 malam semalam di dua lokasi berasingan di sini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan rekod yang dibuat mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Polis juga sedang menyiasat hubungan antara kedua-dua suspek itu.
“Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 3 September depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya. -KOSMO! ONLINE